Keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2016 akan ditaksirkan melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah mula dilaksanakan pada kohort pertama murid Tahun 1, pada tahun ini.
Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) Sufaat Tumin berkata keputusan UPSR pada tahun berkenaan akan mengambil kira peperiksaan sebanyak 60 peratus manakala PBS merangkumi 40 peratus.
Kementerian Pelajaran memperkenalkan PBS sebagai proses menilai dan mentaksir pencapaian murid dalam menentukan penguasaan murid secara sistematik pada setiap peringkat pengajaran dan pembelajaran.
Sufaat berkata keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2014 pula adalah 100 peratus berdasarkan PBS apabila pentaksiran akan mula dilaksanakan bagi pelajar Tingkatan 1, pada tahun depan.
"Kita memberi kuasa kepada guru untuk mentaksir dan memberikan skor kepada pelajar," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku pengurusan dan pengendalian PBS oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 pada hari Jumaat, 8 Julai 2011.
Sufaat berkata PBS mengandungi lima komponen dari segi kaedah untuk pentaksiran iaitu peperiksaan pusat bagi UPSR, dan empat lagi pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah.
Empat lagi kaedah pentaksiran ialah Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, serta Pentaksiran Psikometrik iaitu mengenal sikap dan personaliti pelajar.
Katanya pentaksiran berasaskan sekolah juga bukan perkara baru, cuma ia tidak direkod dan tidak diambil kira dalam markah keseluruhan dan pelaksanaanya akan menjadi guru lebih dihormati oleh pelajar.
Katanya diharap murid akan cemerlang melalui pelaksanaan PBS kerana pentaksiran dilakukan daripada peringkat awal yang bukan sahaja mentaksir dari segi akademik, tetapi juga sahsiah, sukan dan kokurikulum.
Sumber : BERNAMA
No comments:
Post a Comment