Sunday, 24 April 2011

Malaysian University English Test - MUET

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ingin memaklumkan bahawa Malaysian University English Test (MUET) merupakan ujian untuk mengukur penguasaan berbahasa Inggeris yang diwajibkan kepada semua calon STPM, pelajar matrikulasi, diploma, dan prauniversiti lain yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi tempatan (IPT). Jadi, tujuan MUET diadakan sebelum kemasukan ke IPT adalah untuk membolehkan pelajar memperoleh kemahiran berbahasa Inggeris pada tahap tertentu sebagai persediaan bagi mereka mengikuti pengajian di IPT kerana sebahagian besar bahan rujukan adalah dalam bahasa Inggeris.

MUET Logo
Pelaksanaan MUET sebelum mengikuti program ijazah pertama juga adalah atas permintaan pihak IPT untuk membolehkan pihak IPT membuat penapisan dan pemilihan pelajar bagi mengikuti jurusan tertentu yang memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris pada tahap yang tinggi, selain penilaian terhadap kelulusan akademik. Dengan yang demikian, pihak IPT berkenaan tidak perlu lagi mengadakan kelas bahasa Inggeris bagi pelajarnya dalam jurusan berkenaan.

Pertambahan bilangan ujian MUET daripada dua kepada tiga kali setahun pula dibuat atas permintaan para pelajar. Pertambahan ini dapat memberikan ruang yang lebih selesa kepada calon untuk menduduki MUET mengikut masa yang sesuai dan juga dapat memberikan peluang yang lebih banyak kepada calon untuk memperbaiki keputusan MUET mereka sebelumnya, sama ada untuk tujuan masuk ke universiti atau tujuan mendapat ijazah.

Berhubung dengan pengendalian ujian MUET Speaking di sesebuah pusat ujian, bilangan bilik yang diperlukan hanya sebuah bilik sebagai tempat ujian dan sebuah bilik lagi sebagai tempat calon menunggu giliran ujian.

Pihak MPM sentiasa mengambil berat tentang kebajikan penjawat MPM dalam pengendalian peperiksaan atau ujian, termasuklah guru yang menjadi pengawas ujian MUET. MPM sedia maklum tentang beban tugas dan kekangan masa yang terpaksa ditanggung oleh guru di sekolah, terutamanya guru yang aktif dan yang terlibat dengan pengurusan peperiksaan di sekolah dan peperiksaan awam yang lain. Oleh itu, MPM sentiasa berusaha menyediakan kemudahan dan memperbaiki sistem pengurusan peperiksaan/ujian bagi memudahkan dan meringankan beban guru yang bertugas sebagai pengawas.

Dalam hal ini, MPM telah melaksanakan proses kerja yang dapat mengurangkan penggunaan borang, seperti tuntutan elaun pengawasan dan perjalanan serta sistem pendaftaran peperiksaan secara online. Untuk makluman, MPM telah menambahbaik sistem pendaftaran peperiksaan secara online, di mana mulai pendaftaran MUET Akhir Tahun 2011, pihak sekolah boleh membuat pembayaran melalui cek.

Melalui sistem komputer dan online, semua urusan berkenaan dapat dilakukan dengan mudah dan cepat. Usaha ini juga selaras dengan pelaksanaan program pembangunan ICT yang disarankan oleh kerajaan.

Sumber : Kementerian Pelajaran Malaysia

No comments:

Post a Comment