Thursday, 9 June 2011

Saringan Ketat Rayuan Kemasukan Ke Program Matrikulasi

Kementerian Pelajaran menjalankan saringan ketat berdasarkan merit ke atas 35,000 rayuan bagi kemasukan ke program matrikulasi sesi 2011/2012.

Matrikulasi KPM
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi berkata angka itu adalah amat besar bagi memenuhi tempat yang terhad selain terlalu ramai pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang.

Beliau berkata saringan berdasar merit itu selain melihat keputusan peperiksaan SPM, turut mengambil kira aktiviti kokurikulum pelajar dan latar belakang keluarga mereka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan majlis taklimat mengenai pengambilan pelajar ke program matrikulasi kementerian itu bagi sesi 2011/2012 kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) pada 8 Jun 2011.


"Kita persetujui supaya apa-apa pun sebelum perkara ini dibawa kepada umum, mereka perlu dapat penjelasan daripada kementerian supaya jangan timbul persepsi yang negatif seolah-olah pihak kami tidak telus, katanya.

Puad berkata hasil taklimat tersebut, wakil-wakil parti komponen yang hadir dilihat menerima penjelasan daripada pihak kementerian.

"Kita juga lebih suka lebih banyak pihak maklum tentang cara kita ambil pelajar matrik ini," katanya.

Keputusan rayuan memasuki program matrikulasi telah keluar pada 4 Jun lalu dan pelajar yang berjaya diminta melaporkan diri sebelum akhir minggu ini.

Kementerian menerima 25,000 pelajar dan kuota pengambilan pelajar bagi bukan bumiputera ditetapkan sebanyak 10 peratus sejak 2003.

"Saya turut berharap wakil-wakil parti komponen dapat menyampaikan penjelasan kriteria pemilihan kepada ahli-ahli termasuk juga ibu bapa yang berkaitan," kata Puad.

Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment