Pages

Thursday, 9 June 2011

Pelajar JPA Yang Gagal Pulang Perlu Bayar Balik Biasiswa

Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di luar negara yang enggan kembali berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian akan diminta membayar balik dengan nilai penuh biasiswa termasuk dikenakan faedah.

Logo JPA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata jemaah Menteri akan mengkaji berasaskan undang-undang sedia ada bagi melaksanakan tindakan itu.

"Jika Kabinet bersetuju, bekas pelajar tajaan JPA yang sudah bekerja di luar negara akan diwajibkan membayar balik semua perbelanjaan berkenaan termasuk faedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jerantut pada 5 Jun 2011.

Mohamed Nazri berkata kebanyakaan pelajar tajaan JPA yang enggan pulang merupakan mereka yang menuntut di universiti di Eropah dan Amerika Syarikat yang menerima biasiswa berjumlah antara RM400,000 dan RM1.2 juta setiap seorang.


"Sewajarnya golongan berkenaan patut mengenang budi kerajaan yang memberi biasiswa dan menghantar mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional tertentu di luar negara," katanya.

Menurut Mohamed Nazri, berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap 145 penerima biasiswa JPA yang gagal berkhidmat di tanah air di antara 2000 dan 31 Mei tahun ini.

Bagi 145 kes yang aktif ini, 97 adalah dalam bidang perubatan, 26 kejuruteraan, empat kimia, tiga pergigian, enam dalam perakaunan, dua undang-undang, seorang dalam pentadbiran perniagaan dan lain-lain seramai empat orang.

Beliau berkata, majoriti penerima biasiswa yang ingkar adalah dalam bidang perubatan dan kejuruteraan yang mengikuti pengajian di United Kingdom, Ireland dan Amerika Syarikat.

“Kes itu sedang berjalan sama ada di peringkat memberi notis tuntutan atau prosiding mahkamah bagi mendapatkan penghakiman mengenai biasiswa serta penjamin dan mereka diarah membayar semula.

Sebanyak 195 kes sudah diambil tindakan. Sementara itu, 160 kes pula sudah selesai iaitu penerima biasiswa kembali untuk berkhidmat selepas notis dikeluarkan ataupun sudah mulai buat bayaran ansuran atau sudah selesai membayar biasiswa tersebut.

“Kita perlu kaji semula (pemberian biasiswa) dengan mengambil kira perkara ini,” katanya.

Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment