Kementerian Pelajaran memberi jaminan pelajar Sekolah Seni Johor Bahru (SsJB) dan Sekolah Seni Kuching (SsK), tidak akan berdepan masalah ketika memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) selepas mereka menamatkan pembelajaran kelak.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ibu bapa, guru serta pelajar sekolah terbabit tidak perlu risau walaupun sebelum ini wujud kebimbangan berikutan sistem penggredan digunakan dalam peperiksaan mata pelajaran kesenian sekolah berkenaan didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Katanya, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan segala masalah yang timbul termasuk sistem penggredan digunakan dalam peperiksaannya supaya bukan saja menepati kehendak dan syarat kemasukan ke IPT, malah turut mampu melahirkan pelajar jurusan seni yang cemerlang.
Antara langkah diambil termasuk mengarahkan BPK supaya mengadakan perbincangan dengan KPT bagi menyelesaikan masalah yang timbul berhubung sistem penggredan, sukatan serta modul diikuti pelajar Sekolah Seni, malah beliau yakin ia akan dapat diatasi tidak lama lagi dan berharap ibu bapa, guru dan pelajar supaya tidak bimbang atau risau lagi.
Menurut beliau, SsJB dan SsK ditubuhkan sejak Januari 2007 lalu menjadi perintis sekolah seumpamanya di negara ini dan kementerian merancang membuka lagi sekolah ini di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara tidak lama lagi.
Bulan lalu, Berita Harian melaporkan kebimbangan ibu bapa dan guru terhadap nasib pelajar di kedua-dua sekolah seni berkenaan berikutan mereka dimaklumkan sistem penggredan digunakan dalam peperiksaan mata pelajaran kesenian sekolah berkenaan tidak diiktiraf KPT.
Menurut laporan berkenaan, sistem penilaian dan pentaksiran subjek kesenian diambil pelajar terbabit dinilai dalam bentuk Band merangkumi Band I hingga VI, sistem sama digunakan dalam penilaian Malaysian University English Test (MUET) yang diiktiraf kerajaan tetapi dalam konteks mata pelajaran kesenian di sekolah seni, ia belum diiktiraf KPT.
Sementara itu pengambilan pelajar baru ke sekolah seni sudah dibuka.
Sumber : 1Klik
No comments:
Post a Comment